Wednesday, February 24, 2010

Pemakanan Arnab

Arnab peliharaan amat memerlukan penjagaan dan pembekalan makanan yang secukupnya daripada penternak. Penternak disarankan agar tidak memberikan sisa-sisa makanan kepada ternakannya, seperti makanan2 yang telah basi dan sebagainya.

Dalam penternakan secara intensif, makanan pellet merupakan makanan utama yang diberikan. Makanan berbentuk hijau hanya diberikan mengikut keperluan sahaja. Makanan hijau adalah seperti rumput, sayur2an atau daun2. Selain itu, ia juga boleh diberikan makanan tambahan seperti konsentrat, rumput kering(hay) dan biji-bijian.

a) Pallet
Ia berbentuk pellet atau untilan keras yang mempunyai garis pusat 4 mm dan panjang 2 ke 3 cm. Mengandungi segala zat untuk pertumbuhan arnab sekurang2nya pada kuantiti minimum. Bagi induk betina dewasa, jumlah diperlukan adalah 120 g/hari/ekor, penjantan dewasa 60 g/hari/ekor, manakala bagi anak arnab sebanyak 50 ke 100 g/hari/ekor.
Terdapat pelbagai jenama, diantaranya adalah Benggy, FFM, Cap Bendera dan banyak lagi. Kebanyakannya penternak arnab secara komersial akan mencampurkan makanan arnab dengan makanan kambing daripada keluaran FFM.

b) Sumber tumbuhan-tumbuhan hijau
Penternak di kalangan tradisional banyak mengamalkan kaedah ini. Sumber makanan hijau yang diberikan adalah rumput2, sisa2 sayuran (kangkung, sawi, lobak, daun tembikai, biji sawi, kubis, daun ubi kayu), dedaun seperti daun kembang sepatu, sesbania, kacang panjang, daun keledek, daun kacang tanah, daun dan batang jagung, daun betik, daun talas dan sebagainya.

Makanan tersebut tidak boleh diberikan dalam bentuk segar (selepas dipetik daripada pokok), sebaliknya perlu dilayukan terlebih dahulu untuk mengurangkan kandungan air di dalamnya. Proses melayukan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kandungan serat malah dapat menghilangkan getah atau racun yang boleh menyebabkan arnab mengalami kekejangan atau cirit-birit.

Seekor arnab memerlukan 1 kg sumber makanan hijau yang diperolehi daripada sisa sayuran atau dedaun. Arnab pedaging secara genetiknya mempunyai saiz yang besar dan mampu menghabiskan sehingga 1.5 kg makanan setiap hari. Ini berikutan dengan kandungan air yang terkandung adalah 90% dan ia terlalu besar berbanding dengan sumber nutrien yang amat diperlukan oleh arnab.

Pemberian sayuran seperti kubis atau sisa sayuran yang berlebihan akan melawaskan air kencing arnab yang akan menyebabkan kekotoran dan bau yang kuat di kawasan penternakan. Keadaan ini akan menyebabkan serangan hama dan penyakit lebih mudah berlaku. Air kencing arnab mengandungi kandungan nitrogen (N) yang tinggi (sesuai untuk dibuat baja tetapi perlu dicampur dengan air). Kandungan nitrogen yang diuraikan oleh bakteria akan meningkatkan kandungan gas ammonia yang berbau busuk di sekitar sangkar.

Dalam penternakan secara intensif, sumber makanan pellet yang diperlukan ialah 60 ke 80% dan selebihnya adalah bahan konsentrat dan bahan hijau.

c) Rumput-rumput kering atau rami ( Hay )
Rumput kering atau rami (hay) merupakan rumput awetan yang dipotong menjelang musim berbunga. Rumput ini dikeringkan secara bertahap sehingga kandungan gizinya tidak rosak, sekaligus dapat meningkatkan jumlah kandungan seratnya.

Antara rumput kering ini adalah rumput gajah, pucuk tebu atau rumput di padang yang dipotong semasa menjelang musim berbunga. Antara faktor yang menyebabkan arnab menggemari makanan ini kerana ia mempunyai rasa yang manis serta kandungan serat yang tinggi. Daun2 jenis kekacang yang dilayukan dan dikeringkan seperti hay juga amat disukai arnab. Makanan ini amat sesuai ketika musim panas dan kering berpanjangan dan ia dapat mengatasi masalah cirit-birit dengan menghentikan pemberian makanan utamanya iaitu pellet.

d) Biji-bijian
Berfungsi sebagai sumber makanan yang dapat meningkatkan daya ketahanan arnab. Amat diperlukan oleh arnab yang bunting dan yang sedang menyusukan anaknya. Antaranya adalah jagung, padi, gandum, bijan, kacang soya, kacang tanah dan kacang hijau.

Biji-bijian ini tidak boleh diberikan secara terus kepada arnab, ia perlu ditumbuk atau digiling terlebih dahulu. Sukatan yang diberikan adalah 200 ke 300 gram sehari. Untuk penjimatan kos, ia boleh diselang-selikan dengan makanan utama, hampas kelapa, hampas tauhu atau hampas kacang soya.

Menurut pengalaman beberapa penternak, berat arnab yang berumur 4 bulan hanya mencapai 1.5 kg sekiranya makanannya hanya berupa sumber hijau semata-mata, sebaliknya jika dicampur dengan sumber ini, beratnya mampu mencapai sehingga 4 kg. Pemerhatian ini dilakukan ke atas baka New Zealand White, Californian dan beberapa baka arnab pedaging yang lain.

e) Jenis Ubi-ubian
Antaranya adalah keledek, ubi kayu, ubi kentang dan makanan umbi yang lain. Untuk umbi ubi kayu, ianya perlu direbus terlebih dahulu atau dikeringkan sebelum diberikan untuk menghilangkan getahnya. Ubi kayu yang telah dikering perlu ditumbuk sebelum diberikan.

f) Konsentrat
Makanan ini diberikan adalah untuk meningkatkan sumber nutrien makanan dan ia juga dapat mempermudahkan penyediaan makanan. Ia berfungsi sebagai makanan tambahan dan meningkatkan daya ketahanan haiwan. Antara makanan konsentrat tersebut adalah bran, hampas kelapa, hampas kacang tanah, hampas tauhu, hampas ubi kayu dan sebagainya.

Makanan yang seimbang
Jumlah makanan dalam komposisi yang seimbang amat penting bagi penternakan arnab. Sumber-sumber karbohidrat, protein, garam mineral, vitamin dan air perlu seimbang bergantung kepada umur, tujuan pengeluaran serta kadar pertumbuhan.
Bagi seekor arnab dewasa, ia memerlukan sebanyak 120 hingga 189 gram konsentrat setiap hari, manakala bagi arnab yang sedang bunting atau menyusukan anak, keperluannya menjangkau pertambahan sebanyak 25 hingga 50%.
Pemberian konsentrat juga dipengaruhi umur dan berat arnab, iaitu; bagi arnab muda yang berumur 2 hingga 5 bulan dengan berat dianggarkan 2 hingga 4kg, memerlukan 180 hingga 200 gram konsentrat sehari. Manakala, bagi seekor arnab dewasa dengan berat 5kg, memerlukan sebanyak 160 hingga 180 gram sehari dan bagi yang sedang bunting atau menyusukan anak memerlukan 200 hingga 250 gram konsentrat sehari.

Komposisi Makanan Arnab

Bagi :
Arnab pejantan yang aktif mengawan, induk betina yang bunting dan menyusukan anak, anak-anak yang dalam tempoh pembesaran:
Protein - 14 ke 18% : Lemak - 3 ke 6% : Serat - 15 ke 20% : Abu - 5 ke 6%

Induk betina yang kering, arnab pejantan yang tidak aktif, anak arnab yang mula dewasa:
Protein - 12 ke 14% : Lemak - 2 ke 4% : Serat - 20 ke 28% : Abu - 5 ke 6%

No comments:

Petua Memilih Arnab

Petua Memilih Arnab